Pages

Sunday, September 6, 2009

Lencana Sekolah - SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN SUNGAI BESI, KUALA LUMPUR





SEJARAH SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN SUNGAI BESI


Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besi (SMKSB) mula ditubuhkan pada 2 Januari 1987. Pada masa sekolah ini ditubuhkan, ia tidak mempunyai bangunan sendiri dan terpaksa menumpang di Sekolah Rendah Bandar Baru Sri Petaling sehingga 20 Ogos 1989 dan bangunan sekolah digunakan secara rasmi pada keesokan harinya iaitu 21 Ogos 1989.
Penubuhan SMKSB adalah hasil permintaan ibu bapa di kawasan Pekan Sungai Besi. Manakala penubuhan sekolah ini adalah untuk menampung keperluan pendidikan penduduk di sekitar kawasan Sungai Besi dan bagi menampung murid-murid lepasan sekolah rendah dari sekolah sekitar, iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Besi, Sekolah Kebangsaan Pengkalan Tentera Darat, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Kwong Hon dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil.
Pembinaan SMKSB dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Kos pembinaannya dianggarkan menelan belanja sebanyak RM 2, 358, 000 termasuk kos penyediaan perabot bagi keperluan para pelajar SMKSB. Tapak pembinaan SMKSB adalah bekas tapak kawasan setinggan yang telah dipindahkan ke tempat lain.
Pada masa sekolah ini ditubuhkan, ia hanya dapat menampung keperluan pelajar dari Tingkatan Peralihan ke Tingkatan Satu. SMKSB mula menerima pelajarnya pada 2 Januari 1987. Untuk tahun pertama, bilangan pelajarnya adalah seramai 167 manakala bilangan guru adalah seramai 8 orang sahaja.
SMKSB mendapat namanya sempena dengan lokasi dan perletakannya yang berhampiran dengan Pekan Sungai Besi. Pengetua pertama yang mula berkhidmat di sekolah ini adalah Encik Mohamad bin Abdul Samad, iaitu semenjak sekolah ini dibuka sehingga 16 September 1990. Pengetua yang kedua pula adalah Encik Abdul Manaf bin Haji Abdul Rahman dan mula berkhidmat di sekolah ini pada 16 September 1990.
Lencana Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besi telah dicipta oleh seorang pelajar dari Institut Teknologi Mara. Moto sekolah pula telah dicipta oleh Pengetua kedua sekolah, iaitu Encik Abdul Manaf bin Haji Abdul Rahman. Moto ini diberikan tema “MAJU” yang bermaksud “Maju dan Amanah, Jaya dengan Usaha”. Lagu sekolah, "MAJU BERSAMA" pula telah dicipta oleh Encik Mohd. Jamil @ Jamlon Abdullah. Lirik lagu ini telah ditulis oleh En. Zakaria b. Zawawi dan Pn. Nor Aziah bt. Mahat. Misi SMKSB yang terkini ialah ‘Menjadikan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besi Terus Cemerlang menjelang 2013’ menggantikan misi sebelumnya iaitu ‘Cemerlang Menjelang 2008’. Sementara itu, SMKSB memilih ungkapan ‘Merah Membara’ sebagai slogan rasminya mulai tahun 2008.
Bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besi asalnya terdiri daripada 2 blok 4 tingkat yang telah disambungkan. Bangunan ini mengandungi 22 buah bilik darjah, 2 buah bengkel Kemahiran Hidup, 6 Makmal Sains, sebuah Pusat Sumber, sebuah pejabat, sebuah bilik guru, sebuah Perpustakaan, sebuah surau dan sebuah kantin. Pertambahan pesat pelajar dari tahun ke tahun telah menyebabkan sekolah ini diberi peruntukan tambahan bagi pertambahan 3 blok bangunan baru ( C, D dan E ). Kini SMKSB sudah mempunyai 2 makmal computer (Makmal Bestari), Self Access Centre (SAC), Makmal Besinet, Bilik Profesional Guru, Bilik Media dan pelbagai kemudahan lain.
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah ini telah ditubuhkan pada tahun 1990. Mesyuarat Agung pertama penubuhan PIBG sekolah ini telah diadakan pada 24 Ogos 1990. Mesyuarat Agung penubuhan PIBG ini telah dirasmikan oleh Tuan Haji Mohd. Zain bin Ramli, iaitu Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendaftaran, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan.
Walaupun telah digunakan sejak 1989, sebenarnya SMKSB hanya dirasmikan pada 10 Julai 1999. Perasmian telah dilakukan oleh YB Datuk Tan Chai Ho, Setiausaha Parlimen Kementerian Hal Ehwal Pengguna dan Perdagangan Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.
Perkembangan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besi dapat dilihat melalui peningkatan jumlah guru yang kini seramai 128 orang. Manakala jumlah pelajar melebihi 1918 orang, iaitu dari pelajar Peralihan hingga ke tingkatan Enam Atas.
Sejak penubuhannya hingga kini, pelbagai kejayaan akademik dan kokurikulum telah dapat dicapai. Jumlah pelajar cemerlang yang dapat dilahirkan semakin meningkat sama ada pada peringkat PMR atau SPM. Kejayaan dalam kokurikulum seperti pasukan Dikir Barat yang pernah menjadi Naib Johan Kebangsaan Pertandingan Dikir Barat, Karnival Seni Pencegahan Dadah 2000 merupakan kemuncak kejayaan dalam kokurikulum. Kejayaan lain juga dicapai sama ada pada peringkat Zon Bangsar atau Wilayah Persekutuan.
Akhir sekali, terdapat 4 matlamat dan harapan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besi, iaitu kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum, pembentukan sahsiah yang seimbang, memupuk semangat meneroka di kalangan pelajar dan membina bangsa yang bermaruah. Oleh itu, harapan sekolah supaya semua pelajar bersama-sama membina semangat yang kental dan gigih untuk memajukan sekolah kita dan mencapai matlamat tersebut.
# Semua maklumat diatas dipetik dari blog Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besi, Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...