Pages

Monday, April 22, 2013

Lencana Sekolah - SEKOLAH KEBANGSAAN BEKUAI, PENGKALAN HULU, PERAK.







  








 

 
SEJARAH SEKOLAH KEBANGSAAN BEKUAI, PENGKALAN HULU, PERAK.

Sekolah Kebangsaan Bekuai terletak di antara pekan Pengkalan Hulu dan Kampung Tasek.  Jarak dari pekan Pengkalan Hulu ke Sekolah Kebangsaan Bekuai lebih kurang 3 km.  Mengikut cerita dari orang-orang tua, Sekolah Kebangsaan Bekuai mendapat nama sempena sebatang pokok Bekuai yang besar terdapat di kawasan tapak bangunan asal sekolah ini.
Mengikut keterangan orang-orang tua, bangunan asal sekolah ini dipunyai oleh Orang Besar Kampong yang bernama Che Wan Mendelong. Beliau dengan murah hati telah membenarkan bangunan rumahnya dijadikan sekolah.  Bangunan sekolah ini terletak di sebelah kanan jalan ke Kampung Tasek.  Guru Besar yang pertama bertugas di sekolah ini dikenali dengan panggilan Cikgu Teh.  Beliau seorang guru lepasan Kolej Matang.
Dengan adanya desakan dari Datuk Penghulu Tuan Haji Salleh, JP, pihak kerajaan telah mendirikan sebuah bangunan kayu pada tahun 1916 bagi menggantikan bangunan yang dihadiahkan oleh Che Wan Mendelong. Bangunan ini didirikan di sebelah kiri jalan ke Kampung Tasek.  Pada ketika ini tugas Guru Besar telah diambil alih oleh Cikgu Tawat menggantikan Cikgu Teh.  Murid Sekolah Kebangsaan Bekuai pada ketika itu hanyalah seramai 30 orang.  Sebelum adanya Sekolah Kebangsaan Bekuai, ibubapa di kampung ini telah menghantar anak-anak mereka bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kuak Luar,  lebih kurang 6 km dari kampung ini.
Pada tahun 1937 kerajaan telah mendirikan lagi bangunan kayu yang berukuran 30 kaki x 25 kaki berikutan bertambahnya bilangan murid di sekolah ini.  Bangunan ini telah diubah suai menjadi 2 bilik darjah.  Bangunan tersebut masih wujud hingga sekarang.Sebuah lagi bangunan baru telah didirikan oleh pihak kerajaan pada tahun 1970 di Lot No. 1990, tapak baru seluas 2.5 ekar.  Bangunan ini terdiri dari 2 bilik darjah dan sebuah bilik Guru Besar.  Walaupun telah mendapat bangunan baru, bangunan lama masih digunakan lagi bagi menampung jumlah murid yang semakin bertambah.

 Pada bulan Ogos 1981, kerajaan telah meluluskan satu projek membina bangunan baru 2 tingkat yang mengandungi 4 bilik darjah.  1 pejabat Guru Besar, 1 pejabat sekolah, 1 bilik guru dan sebuah setor.  Bangunan ini telah siap dan mula digunakan pada 3 Mei 1982.  Dengan adanya bangunan ini, bangunan sekolah di tapak lama tidak digunakan lagi.
Bilangan murid terus bertambah.  Bangunan tambahan amat diperlukan.  Hasil permintaan dan rayuan pihak sekolah melalui Y.B. Tuan Haji Tajol Rosli bin Tan Sri Ghazali ketika itu Timbalan Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar.  Kementerian Pendidikan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM50,000.00 untuk membina bangunan gotong royong 4 buah bilik darjah.  Pembinaan bangunan ini bermula pada 24 Februari 1987 dan dapat digunakan pada 28 Jun 1987.
Sehingga kini, Sekolah Kebangsaan Bekuai terdiri daripada 3 buah bangunan, sebuah kantin dan kemudahan-kemudahan asas yang lain seperti elektrik dan air. Pada tahun 2008 sekolah ini mempunyai murid seramai 186 orang  tahun 1 hingga 6, 25 orang murid pra sekolah, 18 orang guru  5 orang kakitangan sokongan serta 5 orang pekerja swasta pembersihan dan keselamatan .


 # Segala maklumat mengenai sejarah SEKOLAH KEBANGSAAN BEKUAI dipetik dari blog sekolah tersebut.

# Terima kasih diatas sumbangan dan kerjasama yang telah diberikan oleh pihak sekolah kepada saya.

# Lencana ini telah diterima oleh KLS pada 25/03/2013. Jutaan terima kasih diucapkan.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...